FAKTA PENTING TENTANG SERANGAN JANTUNG
- Serangan jantung adalah salah satu punca kematian tertinggi di Malaysia.
- Ia sering disebabkan oleh aterosklerosis, iaitu pembentukan plak lemak dan kolesterol dalam arteri.
- Ramai pesakit melaporkan sekurang-kurangnya 5 tanda serangan jantung akan muncul sebelum serangan sebenar.
- Tindakan pantas dalam satu jam pertama boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kerosakan jantung.

Serangan jantung, juga dikenali sebagai infark miokard, berlaku apabila aliran darah ke otot jantung tersekat secara tiba-tiba. Kebiasaannya, halangan ini berpunca daripada pembentukan plak kolesterol dalam salur darah jantung (arteri koronari). Apabila plak ini pecah, bekuan darah boleh terbentuk dan menyekat aliran darah sepenuhnya.
Simptom bagi wanita kadangkala berbeza berbanding lelaki dan lebih sukar dikenali. Tanpa rawatan segera, otot jantung akan rosak, dan dalam kes yang serius, boleh mengakibatkan kematian. Walaupun ia kedengaran menakutkan, ramai yang tidak menyedari bahawa tubuh sering memberi amaran awal sebelum serangan jantung sebenar berlaku. Artikel ini akan membantu anda memahami tanda sakit jantung, mengenali tanda-tanda sakit jantung ringan, dan mengambil tindakan pencegahan sebelum terlambat.
Apa Itu Serangan Jantung?
Serangan jantung berlaku apabila aliran darah ke sebahagian otot jantung terganggu atau dihentikan. Ini menyebabkan tisu otot jantung mati kerana kekurangan oksigen. Keadaan ini sangat berbahaya dan memerlukan rawatan segera.
Jantung tidak dapat mengepam darah dengan baik jika sebahagian ototnya rosak, dan ini boleh memberi kesan kepada seluruh tubuh. Sekiranya aliran darah tidak dipulihkan segera, serangan jantung boleh menyebabkan kematian dalam masa yang singkat.
Sejauh Mana Serangan Jantung Umum di Malaysia?
Penyakit jantung merupakan punca kematian utama di Malaysia. Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa pada tahun 2020, penyakit jantung menyumbang kepada 17% daripada semua kematian yang diperakui secara perubatan. Dalam kalangan penyakit jantung, penyakit arteri koronari yang menyebabkan serangan jantung adalah penyumbang utama.
Ini menjadikannya isu kesihatan awam yang besar dan membimbangkan, terutama memandangkan gaya hidup moden yang semakin kurang aktif dan pemakanan tidak seimbang.
RINGKASAN BAGAIMANA SERANGAN JANTUNG BOLEH BERLAKU
Serangan jantung berlaku bila salur darah ke jantung, yang macam paip hantar oksigen, tiba-tiba tersumbat sebab ada lemak (dipanggil plak) terkumpul kat dinding salur darah tu. Kadang-kadang plak ni boleh pecah, dan badan cuba “baiki” dengan buat bekuan darah, tapi bekuan tu pulak yang tutup salur darah sepenuhnya. Bila darah tak boleh sampai ke jantung, jantung tak dapat oksigen dan mula rosak.
Tanda-Tanda Sakit Jantung Ringan yang Anda Perlu Tahu
Tanda-tanda sakit jantung ringan boleh muncul beberapa jam, hari atau minggu sebelum serangan berlaku. Ia mungkin tidak begitu menyakitkan atau jelas, tetapi tetap perlu diberi perhatian.
Antara tanda-tanda awal yang biasa berlaku:
- Rasa tidak selesa atau sakit di tengah dada. Ia boleh rasa seperti ditekan, dipicit, atau terbakar.
- Sakit yang menular ke lengan kiri, leher, rahang, belakang atau bahagian atas perut.
- Sesak nafas, walaupun tanpa aktiviti berat.
- Rasa letih luar biasa yang tidak dapat dijelaskan.
- Berpeluh sejuk atau rasa loya secara tiba-tiba.
Jika anda mengalami 5 tanda serangan jantung akan muncul ini secara serentak atau berulang, jangan tunggu. Segera dapatkan bantuan perubatan.
Punca Serangan Jantung
Beberapa faktor utama boleh meningkatkan risiko serangan jantung, antaranya:
- Aterosklerosis (saluran darah sempit disebabkan plak)
- Tekanan darah tinggi
- Merokok
- Kolesterol tinggi
- Diabetes
- Berat badan berlebihan (obesiti)
- Kurang aktiviti fizikal
- Sejarah keluarga dengan penyakit jantung
Gabungan beberapa faktor ini akan mempercepatkan kerosakan pada dinding arteri dan menjadikan jantung lebih mudah diserang.
Apa Perlu Dilakukan Semasa Serangan Jantung
Jika anda atau seseorang yang berhampiran mengalami simptom serangan jantung:
- Hubungi ambulans atau 999 dengan segera.
- Kunyah aspirin jika diarahkan oleh doktor (jangan ambil sendiri tanpa nasihat).
- Ambil ubat nitrogliserin jika sudah diberi preskripsi.
- Jangan pandu sendiri ke hospital kecuali tiada pilihan lain.
Selepas serangan, pesakit biasanya memerlukan ubat-ubatan seperti statin, beta-blocker atau ACE inhibitor. Program pemulihan jantung juga penting untuk membantu pesakit pulih secara fizikal dan emosi.
Pemakanan dan Nutrisi Untuk Menyokong Kesihatan Jantung
Gaya pemakanan memberi kesan besar terhadap kesihatan jantung. Banyak kajian membuktikan bahawa makanan tertentu boleh membantu menurunkan risiko penyakit jantung dan menyokong pemulihan selepas serangan.
Makanan yang baik untuk jantung termasuk:
-
Kacang seperti badam dan walnut
Kajian dari Harvard School of Public Health menunjukkan bahawa pengambilan kacang lima kali seminggu dapat mengurangkan risiko penyakit jantung sehingga 25%. Kacang mengandungi lemak sihat dan omega-3 yang membantu menurunkan kolesterol. -
Ikan berlemak seperti salmon dan tuna
Omega-3 dalam ikan ini membantu mengurangkan keradangan pada dinding salur darah. American Heart Association mencadangkan pengambilan dua hidangan ikan berlemak setiap minggu untuk kesihatan jantung. -
Lentil dan kekacang
Kajian menunjukkan pengambilan lentil secara konsisten dikaitkan dengan paras kolesterol yang lebih rendah. Lentil juga tinggi serat dan tidak menyebabkan kembung berlebihan seperti kekacang lain. -
Produk tenusu rendah lemak seperti yogurt
Mengandungi protein tinggi dan kalsium tanpa lemak tepu yang membahayakan. Ia juga boleh menggantikan krim dalam masakan. -
Kurangkan pengambilan daging merah dan makanan proses
Penemuan kajian mencadangkan bahawa jika orang dewasa di Amerika mengurangkan pengambilan daging merah dan daging proses sebanyak 30%, ia berpotensi mencegah kira-kira 382,400 kes penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun. Daging proses seperti sosej dan nugget juga tinggi garam dan lemak tepu.
Tentang Suplemen Minyak Ikan:
Kajian oleh American Heart Association menyatakan bahawa suplemen minyak ikan yang mengandungi EPA dan DHA mungkin memberi sedikit manfaat kepada pesakit yang sudah pernah mengalami serangan jantung, tetapi tidak cukup kuat untuk digunakan sebagai pencegahan utama. Keberkesanan suplemen ini masih diperdebatkan kerana banyak kajian terdahulu tidak mempunyai sampel mencukupi atau tempoh kajian yang panjang.
Bila Simptom Bukan Serangan Jantung
Walaupun tanda sakit jantung sering jelas, ada beberapa keadaan lain yang menyerupainya:
- Masalah gastrik atau GERD (asid refluks)
- Serangan panik atau kecemasan
- Ketegangan otot dada
- Jangkitan paru-paru seperti pneumonia
- Embolisme pulmonari (darah beku dalam paru-paru)
Simptom seperti sakit dada atau sesak nafas harus diperiksa oleh doktor untuk mengesahkan puncanya. Jangan buat kesimpulan sendiri.
Kesimpulan
Tanda sakit jantung dan tanda-tanda sakit jantung ringan sering muncul lebih awal sebelum serangan sebenar berlaku. Jangan abaikan walaupun simptom nampak kecil atau datang sekali-sekala. Rawatan awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga mengurangkan kerosakan kekal pada otot jantung.
Ingat, tubuh anda memberi amaran. Jika anda perasan 5 tanda serangan jantung akan muncul, bertindak segera. Gaya hidup sihat dan penjagaan pemakanan mampu mencegah serangan yang seterusnya.