INTIPATI UTAMA

  • Biotin hanya berkesan untuk rambut dan kuku jika ada kekurangan nutrien ini.
  • Kekurangan biotin jarang berlaku tetapi boleh disebabkan oleh diet, penyakit usus, atau ubat tertentu.
  • Sumber terbaik biotin adalah daripada makanan seperti hati lembu, telur masak, dan ubi keledek.
  • Suplemen biotin perlu diambil dengan nasihat doktor dan pilih biotin yang bagus untuk rambut.
Hair thinning on a man

Dalam dunia kecantikan, biotin sering dijadikan “rahsia” rambut lebat dan kuku kuat. Iklan suplemen menyatakan hanya dengan mengambil kapsul biotin setiap hari, masalah rambut gugur akan hilang dan rambut akan tumbuh lebih tebal. Tetapi sejauh mana dakwaan ini benar? Adakah manfaat biotin untuk rambut memang terbukti atau sekadar gimik pemasaran?

Hakikatnya, biotin ialah vitamin B7, sejenis mikronutrien yang membantu tubuh menukar makanan kepada tenaga, menyokong fungsi sistem saraf, dan mengawal aktiviti gen. Ia memang penting untuk kesihatan rambut, kuku, dan kulit tetapi sains menunjukkan kesannya hanya benar-benar ketara jika seseorang mengalami kekurangan biotin.

Bagaimana Manfaat Biotin Kepada Kesihatan Rambut dan Tubuh

Biotin mempunyai peranan penting dalam metabolisme, ia membantu badan menghasilkan asid lemak dan glukosa yang menjadi tenaga sel. Rambut dan kuku juga bergantung kepada protein keratin, dan biotin membantu dalam penghasilan keratin ini.

Kajian meneliti peserta yang mengalami penipisan rambut akibat kekurangan biotin. Selepas mengambil suplemen untuk mendapat manfaat biotin, mereka menunjukkan peningkatan ketumpatan rambut dan penurunan jumlah rambut gugur. Walau bagaimanapun, kajian ini melibatkan peserta dengan kekurangan biotin yang disahkan, jadi kesannya pada individu sihat mungkin berbeza.

Dalam aspek kuku, satu kajian kecil pada pesakit yang mengalami trachyonychia (cara sebutan: tra-ko-ni-ki-ya) iaitu keadaan kuku rapuh dan berlapis mendapati pengambilan biotin setiap hari selama beberapa bulan meningkatkan ketebalan kuku dan mengurangkan keretakan. Walaupun hasilnya positif, jumlah peserta kajian terlalu kecil untuk membuat kesimpulan menyeluruh.

Gejala Kekurangan Biotin

Kekurangan biotin jarang berlaku, tetapi boleh menjejaskan kesihatan rambut, kulit, kuku, dan sistem saraf. Gejalanya termasuk rambut menipis atau gugur, kuku rapuh, ruam merah bersisik di sekitar mata, hidung dan mulut, serta jangkitan kulit berulang.

Masalah neurologi seperti kemurungan, keletihan melampau, dan halusinasi juga boleh berlaku pada orang dewasa. Pada bayi, kekurangan biotin boleh menyebabkan nada otot rendah, perkembangan lambat, dan sawan. Keadaan ini memerlukan diagnosis dan rawatan segera oleh doktor.

RINGKASAN

Biotin merupakan “tukang baiki” dalam badan kita. Ia memastikan mesin badan kita berjalan lancar dengan buat tenaga, dan ia juga baiki serta bina keratin bahan yang buat rambut kuat dan kuku keras.

Kalau tukang baiki tiada cukup alat (biotin), rambut boleh gugur, kuku jadi rapuh, kulit boleh jadi gatal atau merah, dan kita cepat penat.

Apabila orang yang kekurangan biotin ambil pil biotin, tukang baiki ni boleh buat kerja lebih baik untuk jadikan rambut tebal dan kuku kuat.

Punca Kekurangan Biotin

1.Pengambilan putih telur mentah berlebihan

Putih telur mentah mengandungi avidin, sejenis protein yang mengikat biotin dan menghalang penyerapan vitamin ini dalam usus. Pengambilan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan paras biotin menurun walaupun diet lain seimbang.

Trivia Nutrisi Avidin

Avidin ni akan ‘tewas’ bila putih telur dimasak kerana haba memecahkan struktur proteinnya. Sebab itulah  memakan telur masak lebih selamat untuk manfaat biotin anda.

2. Penyakit usus seperti Crohn’s disease atau Celiac Disease (Penyakit seliak)

Kedua-dua keadaan ini mengganggu penyerapan nutrien di usus kecil. Apabila penyerapan terganggu, paras biotin juga akan berkurang, walaupun pengambilan melalui makanan mencukupi.

3. Penggunaan ubat antikejang jangka panjang

Ubat seperti carbamazepine dan phenytoin boleh mengurangkan paras biotin dalam darah. Kesan ini biasanya berlaku pada pesakit yang perlu mengambil ubat tersebut bertahun-tahun.

4. Penggunaan isotretinoin untuk rawatan jerawat

Isotretinoin dikaitkan dengan penipisan rambut pada sesetengah pesakit. Mekanismenya mungkin melibatkan penurunan paras biotin atau gangguan pada metabolisme keratin.

5. Pengambilan alkohol berlebihan

Alkohol boleh mengurangkan penyerapan biotin di usus serta meningkatkan perkumuhan vitamin ini melalui air kencing, menyebabkan kekurangan dalam jangka masa panjang.

6. Sejarah pembedahan bariatrik atau gastrektomi

Prosedur pembedahan ini mengurangkan kapasiti perut dan mempengaruhi bahagian usus yang menyerap biotin, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan nutrien.

7. Kehamilan

Kehamilan meningkatkan keperluan metabolik badan. Kajian pada 2014 mendapati sesetengah wanita hamil mengalami penurunan paras biotin walaupun mendapat cukup melalui diet, berkemungkinan disebabkan perubahan hormon dan metabolisme.

Sumber Makanan yang Mengandungi Biotin

Cara paling selamat untuk mendapatkan biotin adalah melalui diet seimbang. Hati lembu, telur masak, ubi keledek, biji bunga matahari, dan badam adalah antara makanan yang kaya dengan manfaat biotin. Walaupun jumlahnya berbeza-beza, pemakanan harian yang bervariasi biasanya mencukupi untuk memenuhi keperluan vitamin ini.

Perlukah Mengambil Suplemen Biotin?

Bagi individu sihat yang sudah mendapat biotin secukupnya daripada makanan, pengambilan tambahan biasanya tidak memberi perubahan ketara pada rambut atau kuku. Namun, bagi mereka yang disahkan mengalami kekurangan biotin, suplemen boleh membantu mengembalikan kesihatan rambut, kuku, dan kulit.

Faktor penting sebelum mengambil suplemen biotin:

  • Pastikan kekurangan biotin disahkan melalui ujian darah.
  • Dapatkan nasihat doktor tentang dos yang sesuai (biasanya sekitar 5 mg sehari untuk kekurangan teruk).
  • Pilih biotin yang bagus untuk rambut yang diluluskan KKM dan dibeli dari sumber dipercayai.
  • Elakkan mengambil dos tinggi tanpa keperluan kerana lebihan biotin akan dibuang melalui air kencing.

Dalam satu kajian, wanita yang merasakan rambut mereka semakin menipis dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberikan suplemen pertumbuhan rambut yang mengandungi pelbagai bahan termasuk biotin, manakala kumpulan satu lagi menerima plasebo, selama enam bulan.

Keputusan kajian menunjukkan, kumpulan yang mengambil suplemen tersebut mengalami peningkatan yang jelas pada jumlah rambut, liputan kulit kepala, serta ketebalan rambut. Sebaliknya, kumpulan plasebo tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Kemungkinan Salah Diagnosis

Masalah rambut gugur tidak semestinya berpunca daripada kekurangan dan tidak mendapat manfaat biotin. Faktor seperti kekurangan zat besi, masalah hormon (hipotiroidisme), stres, dan penyakit kulit seperti psoriasis atau dermatitis juga boleh menjadi punca. Mengambil suplemen biotin tanpa mengenal pasti punca sebenar hanya membuang masa dan wang.

Kesimpulan

Manfaat biotin untuk rambut dan kuku memang wujud, tetapi ia bukan penyelesaian ajaib untuk semua orang. Sains menunjukkan keberkesanan manfaat biotin hanya jelas pada mereka yang mengalami kekurangan vitamin ini. Untuk kebanyakan orang, diet seimbang sudah mencukupi untuk mengekalkan rambut sihat dan kuat.

Sebelum mengambil sebarang suplemen, berbincanglah dengan doktor. Pastikan punca masalah rambut anda dikenal pasti, dan jika perlu, pilih biotin yang bagus untuk rambut yang telah melalui kawalan kualiti dan diluluskan pihak berkuasa kesihatan.