SEKILAS FAKTA
- Kurangkan karbohidrat berlebihan boleh bantu mengawal selera makan.
- Aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 300 minit seminggu penting untuk pembakaran lemak.
- Pemantauan berat badan secara mingguan lebih tepat berbanding harian.
- Beberapa herba seperti fenugreek dan garcinia cambogia berpotensi bantu penurunan berat badan.
- Membaca label makanan elak pengambilan tersembunyi lemak dan gula.

Kenapa ramai orang masih gagal turunkan berat badan walaupun dah makan ubat kurus, minum air lemon setiap pagi, dan pergi gym seminggu sekali? Realitinya, terlalu ramai orang mencari cara nak kurus dengan cepat, tetapi mereka mengabaikan prinsip asas yang lebih mudah dan berkesan.
Malaysia kini sedang berdepan dengan krisis obesiti yang makin membimbangkan. Laporan daripada Sinar Daily mendedahkan bahawa lebih 11 juta orang dewasa di Malaysia kini tergolong dalam kategori berat badan berlebihan atau obes. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 pula menunjukkan peningkatan ketara. Lebih 54.4% orang dewasa kini mempunyai berat badan berlebihan atau obes, berbanding 50.1% pada tahun 2019.
Walaupun ramai dah cuba macam-macam cara nak kurus, dari ubat kurus sehinggalah diet pelik, hasilnya tetap mengecewakan. Mungkin sebab kita tak amalkan cara yang betul. Dalam artikel ini, kita akan bongkarkan 5 petua kurus mudah yang ramai tak amalkan tetapi sebenarnya sangat berkesan.
5 Petua Tanpa Ubat Kurus Mudah Yang Ramai Tak Amalkan
Petua 1: Kurangkan Karbohidrat, Bukan Lemak Sahaja
Ramai orang masih beranggapan lemak adalah punca utama kegemukan. Dan ramai yang makan ubat kurus untuk singkirkan lemak. Namun, realitinya, karbohidrat ringkas seperti roti putih, bijirin manis dan snek dalam paket (terutamanya makanan yang diproses) menjadi penyumbang utama kepada kenaikan berat badan.
Karbohidrat seperti ini biasanya rendah serat dan protein. Bila kita makan makanan seperti ini, kita cepat lapar semula, lalu makan lebih banyak tanpa sedar.
Satu kajian menunjukkan bahawa mereka yang mengurangkan pengambilan karbohidrat berjaya menurunkan berat badan lebih banyak berbanding mereka yang hanya mengurangkan lemak dan tahap insulin dan glukosa yang lebih stabil. Kajian ini dilakukan ke atas individu dewasa dan hasilnya menunjukkan pengurangan lemak badan yang signifikan.
Sebaliknya, pilih snek rendah karbohidrat seperti telur rebus, keju rendah lemak, atau kacang badam yang mengenyangkan lebih lama.
FAKTA
Sebagai contoh, secawan granola yang dibeli di kedai mengandungi kira-kira 68 gram karbohidrat, manakala semangkuk Kellogg's Corn Flakes pula mengandungi sekitar 25 gram karbohidrat. Ini tinggi, lebih-lebih lagi jika anda makan setiap hari.
Petua 2: Bergerak Lebih Aktif, Bukan Tunggu Ada Masa
Ramai orang fikir senaman mesti dilakukan di gym, dengan peralatan mahal dan jadual khusus. Tapi sebenarnya, aktiviti fizikal seperti berjalan laju, lompat tali dan berbasikal pun sudah cukup baik untuk bantu bakar kalori.
Senaman yang konsisten membantu meningkatkan kadar metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembakaran lemak. Untuk menurunkan berat badan, disarankan lakukan sekurang-kurangnya 300 minit senaman sederhana setiap minggu.
Satu kajian mendapati bahawa latihan intensiti tinggi seperti HIIT (High-Intensity Interval Training) membakar lebih banyak lemak berbanding senaman kardio biasa. Kajian ini melibatkan lebih 400 peserta dan menunjukkan bahawa HIIT bukan sahaja membakar lebih kalori semasa senaman, malah memberi kesan pembakaran berterusan sehingga 24 jam selepas itu.
Senaman mudah seperti lompat tali juga terbukti mampu membakar lebih kalori berbanding berjalan atas treadmill dalam tempoh masa yang sama.
Bagi yang baru bermula, berjalan 30 minit sehari pun sudah memadai. Yang penting, mula sekarang dan lakukannya secara konsisten. Jangan mengharapkan ubat kurus sahaja!
Petua 3: Jangan Taksub Dengan Penimbang Berat
Ramai orang kecewa bila tengok nombor di atas penimbang tak turun, walaupun baju dah longgar dan badan rasa lebih ringan. Hakikatnya, berat badan boleh berubah-ubah setiap hari disebabkan oleh pelbagai faktor seperti air dalam badan, kitaran haid, atau pengambilan garam berlebihan.
Menurut kajian, menimbang berat badan setiap hari boleh memberi kesan negatif terhadap motivasi dan kesihatan mental. Kajian ini mencadangkan supaya berat badan hanya ditimbang sekali seminggu, pada waktu yang sama, dan dalam keadaan yang konsisten.
Lebih baik perhatikan perubahan pada saiz pakaian, bentuk badan, dan tahap tenaga harian anda. Ini adalah petunjuk yang lebih realistik dan positif.
Petua 4: Sokongan Nutrisi dan Herba Semula Jadi
Beberapa herba semula jadi menunjukkan potensi dalam membantu menurunkan berat badan, walaupun bukan pengganti kepada diet sihat dan senaman.
Fenugreek (Halba) adalah salah satu herba yang banyak dikaji. Kajian mendapati bahawa pengambilan fenugreek secara konsisten membantu mengurangkan ukuran pinggang dan selera makan. Kajian ini menunjukkan bahawa fenugreek berpotensi membantu dalam kawalan berat badan dengan risiko yang minimum.
Garcinia Cambogia pula sering digunakan dalam produk ubat kurus. Kajian menunjukkan penurunan berat sekitar 0.88 kg lebih banyak berbanding plasebo. Walaupun perbezaannya kecil, ia tetap menunjukkan potensi kesan. Salah satu kajian turut mencadangkan bahawa garcinia cambogia mungkin berkesan secara khusus dalam mengurangkan pengumpulan lemak di bahagian perut, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai berat badan berlebihan.
Ekstrak Teh Hijau (Green Tea Extract) juga semakin popular dalam produk cara nak kurus. Bahan aktif utamanya, ECGC (epigallocatechin gallate), dikatakan membantu mempercepatkan pembakaran lemak dan meningkatkan kadar metabolisme. Satu kajian menilai keberkesanan ECGC apabila digabungkan dengan senaman. Kajian itu mendapati beberapa bukti bahawa ECGC boleh meningkatkan pengoksidaan lemak dan tenaga, tetapi terdapat juga kajian lain dalam ulasan tersebut yang menunjukkan tiada kesan signifikan.
Herba boleh jadi sokongan tambahan, tetapi cara nak kurus sebenar tetap bergantung pada perubahan gaya hidup.
Petua 5: Baca Label Makanan! Jangan Tertipu Lagi
Ramai yang beli makanan yang dikatakan "sihat" seperti yogurt rendah lemak atau granola bar, tanpa perasan kandungan gula dan karbohidrat tersembunyi yang tinggi.
Membaca label makanan dengan teliti boleh bantu anda buat pilihan lebih bijak. Bandingkan kandungan gula, lemak, dan garam antara jenama. Pilih makanan dengan serat tinggi dan kandungan gula rendah.
Menurut satu kajian mengatakan pengguna yang membaca label makanan secara konsisten mempunyai berat badan yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak. Ini kerana mereka lebih cenderung membuat keputusan yang menyokong matlamat kesihatan jangka panjang tanpa meggunakan ubat kurus.
Contohnya, dua jenama yogurt mungkin sama dari segi rasa, tetapi satu daripadanya mungkin mengandungi dua kali ganda gula tambahan. Hanya dengan membaca label, anda boleh elakkan pengambilan kalori berlebihan tanpa sedar.
Apa Yang Kita Pelajari?
Masalah berat badan bukan lagi isu individu, tapi satu krisis nasional. Dengan lebih separuh rakyat Malaysia kini dikategorikan sebagai obes atau berat badan berlebihan, sudah tiba masanya kita ubah pendekatan.
Jangan terlalu bergantung pada ubat kurus yang menjanjikan hasil segera. Sebaliknya, amalkan 5 cara nak kurus yang mudah tetapi berkesan ini secara konsisten. Fokus pada pemakanan seimbang, pergerakan harian, dan pengetahuan asas seperti membaca label makanan.
Jika anda mencari cara menurunkan berat badan 10kg dalam 2 minggu, fikirkan semula. Penurunan berat badan yang cepat biasanya tidak kekal dan boleh mendatangkan risiko kesihatan. Fokus pada kemajuan kecil yang berterusan, kerana itu yang akan memberikan hasil sebenar dan tahan lama.